SEBERANG PERAI – Beberapa jalan utama di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Batu Kawan akan ditutup seawal pukul 6 pagi Sabtu ini bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, bagi kawasan Permatang Pauh, jalan yang akan ditutup adalah di Jalan Berapit, berhadapan pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam.
Katanya, jalan tersebut akan ditutup untuk semua kenderaan bermula dari Taman Bukit Noning di sebelah kiri selain jalan berhampiran Simpang Tiga Mengkuang-Berapit di sebelah kanan.
“Bagi kawasan Parlimen Bukit Mertajam yang pusat penamaan calonnya terletak di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, jalan yang akan ditutup adalah di Jalan Betek.
“Mana-mana kenderaan yang melalui kawasan itu akan dilencongkan ke kawasan simpang tiga Desa Wawasan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng San berkata, bagi kawasan Parlimen Batu Kawan yang melibatkan kawasan penamaan calon di Dewan Kolej Vokasional Seberang Perai, jalan yang akan ditutup adalah Jalan Bukit Minyak, simpang ke Taman Bukit Minyak 2 dan Taman Bukit Minyak 1.
“Kita jangkakan penutupan jalan ini akan dibuat sehingga selewat-lewatnya pukul 1 petang bergantung kepada proses penamaan calon di lokasi yang ditetapkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menganggarkan hampir 300 anggota polis dari IPD Seberang Perai Tengah akan ditempatkan di ketiga-tiga lokasi pusat penamaan calon itu Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE