fbpx

Penjawat awam tahu majikan mana lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan.

PETALING JAYA – Kira-kira 1.6 juta penjawat awam berasa senang untuk terus memberi kerjasama kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika beliau dipilih semula sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, Ismail Sabri adalah seorang pendengar yang baik, mudah berbicara dan ingin melakukan yang terbaik untuk penjawat awam.

“Kita (penjawat awam) telah berjumpa dengan beliau (Ismail Sabri) dan kami berasa amat senang untuk terus memberi kerjasama kepada Perdana Menteri.

“Pencapaian Perdana Menteri ke-9 pada situasi yang sukar, tetapi untuk sentuhan kepada rakyat kita dapat rasakan perkara tersebut berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan Ismail Sabri yang kekal bertanding di Parlimen Bera pada 19 November ini sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan politik itu menang PRU15.

Adnan berkata, bagaimanapun dalam konteks penjawat awam, majikan mereka adalah “government of the day”, maka penjawat awam akan terus memberi perkhidmatan terbaik walau apa yang berlaku dalam sosio politik negara.

Menurut beliau, penjawat awam akan terus kekal berkecuali dalam hal politik bagi menyampaikan sistem perkhidmatan kerajaan kepada rakyat supaya negara ini terus maju, aman dan makmur.

Jelas beliau, penjawat awam akan turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan akan menggunakan pengalaman bekerja di bawah pelbagai majikan untuk membuat pilihan terbaik.

“Bagi Cuepacs (hampir) semua parti politik dalam negara telah diberi peluang menjadi kerajaan dan menjadi majikan kami, maka kami tahu majikan mana yang terbaik untuk kami.

“PRU15 akan berlaku jadi kami nasihatkan kepada parti politik siapa sahaja dipilih oleh rakyat jadi kerajaan biarlah ‘kiambang bertaut biduk berlalu’. Kita bertaut semula untuk negara selepas pilihan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI