fbpx

Penganjur konsert nafi songlap duit Zamani, hanya balik modal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISU

PETALING JAYA – “Selepas ditolak kos, baki yang tinggal di tangan ialah RM4,635.”

Demikian pendedahan penganjur bersama konsert Doa Buat Zamani, Saiful Azlan Ahmad, 49, sekali gus menafikan dakwaan isu songlap wang keuntungan konsert berkenaan yang disifatkan isteri kepada penyanyi itu, Julie sebagai tidak telus.

Saiful Azlan memaklumkan, boleh dikatakan penganjur hanya balik modal.

“Jumlah itu kemudian dicampur dengan tiket pembelian Tunku Permaisuri Selangor menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM116,120.

“Dari situ saya bayar segala kos berkaitan antaranya sewa pentas, pemuzik, artis undangan dan permit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang jumlahnya mencecah RM111,485.

“Selepas ditolak kos itu, baki yang tinggal di tangan ialah RM4,635. Itulah pendapatan yang kami dapat. Wang itu akan diberikan kepada Zamani mengikut rundingan asal 70/30.

“Jadi tidak benarlah kenyataan yang dia tidak dapat sesen pun dari konsert terbabit. Saya masih ingat kenyataan Zamani tak kisah jika tiada untung besar asalkan kami tidak berhutang,” katanya.

Jelasnya, pecahan lengkap jualan terbabit menyaksikan tiket untuk kategori tempat duduk Rindiani dijual sebanyak 72 keping, Nur Kasih (214), Maria Mariana (31), Kurnia (48) dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM107,120.

Penjelasan terpaksa dibuat selepas isteri Zamani, Nur Juliana Abd Rani memuat naik kenyataan dalam media sosial yang mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran selepas konsert tersebut.

Difahamkan, penganjuran konsert tersebut bertujuan menampung dana selepas operasi pembedahan selesai dan bukan melibatkan dana untuk menjalani pembedahan.

Mengulas lanjut, Saiful Azlan yang mewakili syarikatnya Indera Entertainment berkata, akibat tuduhan tersebut maruah dirinya tercalar kerana jelas memburukkan namanya yang sudah menguruskan perjalanan karier Zamani sejak 2014.

Juga disebabkan apa yang berlaku, reputasi syarikatnya, Indera Entertainment tercalar.

“Saya sangat kecewa sebab niat asal memang hendak bantu dia, tetapi balasan seperti ini yang saya terima.

“Kalaulah saya ini menipu, sudah lama saya lari. Tetapi siapa yang lari sekarang? Kalau boleh saya tidak mahu masalah ini berpanjangan kerana ini adalah isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup,” katanya.

Julai lalu, Datuk Aznil Nawawi menyampaikan sumbangan sebanyak RM122,052.93 hasil kutipan dana awam yang dilakukan sekitar Jun lalu, bagi membantu Zamani menjalani pembedahan tulang bekalang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI