PETALING JAYA – Beberapa laluan di sepanjang jajaran Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) akan ditutup sementara waktu pada 5 November ini.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Mohd. Shuhaimi Hassan berkata, penutupan itu dibuat bersempena penganjuran Anak Sarawak (AS) LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run.
“Penutupan beberapa laluan bagi kedua-dua lebuh raya itu akan dilaksanakan secara berperingkat seawal pukul 9 pagi pada 5 November sehingga pukul 5 pagi pada 6 November 2022.
“Susulan penutupan itu, pengguna disaran menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan untuk ke destinasi-destinasi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu katanya, pengguna juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan terlebih dahulu.
Tambah beliau, pengguna boleh merujuk berdasarkan Lampiran A bagi penutupan laluan di Lebuh Raya DASH dan Lampiran B untuk penutupan laluan di Lebuh Raya SRPINT.
Sementara itu, bagi pengguna yang melalui Lebuh raya DASH pada Sabtu ini pula akan dilencongkan ke Persimpangan Persiaran Surian iaitu susur keluar selepas Plaza Tol (RRIM) bagi kawasan Damansara.
“Kesemua laluan yang ditutup di Lebuh raya DASH akan dibuka semula kepada pengguna pada pukul 5.01 pagi, 6 November (Ahad).
“Manakala semua laluan yang terlibat di Lebuh Raya SRPINT pula akan dibuka semula pada pukul 1.01 pagi, hari yang sama.” ujarnya. – KOSMO! ONLINE