LONDON – Satu imej satelit yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan Britain mendedahkan sebuah peluru berpandu berkeupayaan nuklear milik Russia telah dipindahkan ke satu kedudukan pada jarak yang boleh menyerang London bila-bila masa, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Misil hipersonik digelar Killjoy oleh pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau dipanggil Dagger oleh Russia itu merupakan sebahagian daripada senjata strategik Presiden Vladimir Putin sejak 2018.
Ia mempunyai keupayaan jarak lebih 1,931 kilometer (km).
Senjata membawa maut yang boleh memuatkan sehingga 453 kilogram bahan letupan dan kepala peledak nuklear itu kini diletakkan pada kedudukan sekitar 1,770 km dari London, demikian menurut risikan Britain.
Kementerian Pertahanan mengeluarkan kemas kini itu kelmarin dengan mendedahkan imej yang dirakam pada 17 Oktober lalu di Pangkalan Tentera Udara Machulishchi, kira-kira 12.8 km di bahagian selatan ibu negara Belarus, Minsk.
Imej tersebut memaparkan dua pesawat pemintas MiG-31K Foxhound berada berhampiran sebuah kanister yang berkemungkinan mengandungi peluru berpandu balistik pelancaran udara As-24 Killjoy di sebuah kawasan cerun.
Misil tersebut dilaporkan boleh bergerak sehingga 12 kali ganda kelajuan bunyi di samping keupayaannya untuk dilancarkan dari udara menjadikannya hampir mustahil untuk dikesan dan dineutralkan dari kedudukan pertahanan.
Sekiranya dilancarkan dari Belarus, ia didakwa boleh mengenai sasaran di London dalam masa kira-kira sembilan minit.
Menurut Kementerian Pertahanan, pasukan risikan mencadangkan bahawa Moscow boleh menyerang sasaran tambahan selain Ukraine.
“Russia sering melancarkan senjata ini dalam peperangannya dengan Ukraine, namun bekalan mereka berkemungkinan agak terhad.
“Ia mungkin membawa isyarat utama kepada Barat di samping mahu menggambarkan penglibatan Belarus yang semakin signifikan dalam konflik peperangan ini,” kata kemas kini kementerian.
Tentera Putin dikatakan mempunyai sekitar 5,977 kepala peledak yang boleh digunakan dengan 1,600 daripadanya bersedia untuk dilancarkan, demikian menurut Persekutuan Saintis Amerika.
Kali pertama misil tersebut digunakan di Ukraine adalah pada Mac lalu, lapor stesen penyiaran CNN.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, misil Killjoy atau Dagger telah digunakan untuk menyerang sebuah gudang bawah tanah di wilayah Ivano-Frankivsk. – Agensi