fbpx

Kedamaian inap desa sawah padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUASANA tenang di kampung ini sangat sesuai buat pelawat yang inginkan kedamaian desa serta jauh daripada kesibukan kota.

MENIKMATI hembusan bayu pagi serta panorama pancaran matahari terbit pastinya memberikan keseronokan saat bercuti.

Tambah menarik, andai kombinasi alam semula jadi itu dinikmati di kawasan sawah padi yang menghijau.

Hakikatnya, pengalaman tersebut masih boleh dirasai apabila bercuti ke kawasan perkampungan di luar bandar seperti Perlis dan Kedah.

Salah satu tempat penginapan yang menawarkan pengalaman tinggal di kawasan sawah padi ialah Inap Desa Kampung Ujung Bukit, Kangar, Perlis.

Inap desa tersebut bukan sahaja mempunyai pemandangan sawah padi menghijau, malah ia turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan pelawat.

Salah seorang pemilik inap desa di situ, Jukhairji Abidin berkata, tempat penginapan tersebut cukup sesuai buat pelawat yang inginkan kedamaian desa serta jauh daripada kesibukan kota.

“Kami di sini menawarkan beberapa jenis inap desa yang boleh dipilih oleh para pengunjung.

“Keunikan yang ada pada inap desa ini adalah lokasinya yang terletak berhampiran sawah padi.

“Di sini, pengunjung berpeluang menyertai aktiviti menuai padi pada April hingga Jun dan Ogos hingga Disember pada setiap tahun,” katanya kepada Horizon baru-baru ini.

Tambah Jukhairji, pihaknya turut menawarkan beberapa aktiviti bersifat santai kepada pelawat bagi mengimbau kembali kenangan mereka ketika di kampung dahulu.

“Apabila bercuti di sini, pelawat dapat melakukan aktiviti santai seperti membuat layang-layang, memancing ikan di tali air serta membuat kuih tradisional.

“Walaupun aktiviti ini bersifat ringkas, namun ia dapat mengimbau kembali kenangan pelawat semasa kanak-kanak,” ujarnya.

SALAH satu tempat penginapan yang ditawarkan di Inap Desa Kampung Ujung Bukit, Kangar, Perlis.

Jukhairi berkata, pelawat juga berpeluang merasai sendiri pengalaman menjadi petani di sawah padi.

Selain aktiviti-aktiviti di sekitar kampung tersebut, pengunjung juga boleh mengunjungi tarikan-tarikan menarik di sekitar Perlis.

Antaranya termasuk Taman Ular, Warung Tepi Sawah, Gua Kelam, Bukit Chabang, Bukit Keteri dan Empangan Timah Tasoh.

Untuk makluman, terdapat sebanyak 28 unit inap desa ditawarkan di kampung tersebut dengan harga bermula RM90 sehingga RM145 semalam.

Bagi pelawat yang datang dalam kumpulan besar, inap desa itu turut menawarkan beberapa unit deluxe.

Penginapan tersebut mampu memuatkan antara enam hingga 10 orang pengunjung pada satu-satu masa.

Bagi unit deluxe, harga penginapan bermula daripada RM165 hingga RM185 semalam.

Bercerita lanjut, Jukhairji memaklumkan, inap desa tersebut mula beroperasi sejak tahun 2005.

“Selain menawarkan tempat penginapan yang boleh disewa, kami turut mempunyai program menginap di rumah keluarga angkat.

“Program ini menawarkan pengalaman lebih menarik kepada pengunjung ketika bercuti di sini,”

“Bagi program menginap bersama keluarga angkat ini, lazimnya pengunjung terdiri daripada pelajar-pelajar latihan praktikal,” katanya.

Harga penginapan dengan keluarga angkat adalah RM50 sehingga RM60 seorang termasuk makan sebanyak tiga kali sehari.

Orang ramai yang berminat untuk menginap di Inap Desa Kampung Ujung Bukit boleh melayari laman web perlishomestay.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI