SYDNEY – Seorang ibu tunggal di Sydney, Australia kerugian lebih £12,200 (RM65,783) selepas ditipu seorang penilik nasib yang mendakwa bahawa dirinya disumpah selain nyawa anak-anaknya berada dalam bahaya, lapor laman berita LadBible semalam.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Poonam itu berkata, disebabkan berasa bimbang dengan amaran tersebut, dia sanggup berhabis duit demi keselamatan anak-anaknya.
Poonam berkata, dia didekati oleh rakan kepada lelaki yang mendakwa dirinya seorang ahli psikik, Valmiki Krishna.
“Mereka berkata bahawa terdapat roh jahat mendampingi anak-anak saya jadi mereka mahu membuang roh tersebut,” kata Poonam dalam satu program televisyen di Australia, A Current Affair.
Tambah Poonam, dia baru-baru ini terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Jadi, apabila Valmiki memberitahu bahawa dia akan mengalami kemalangan sekali lagi, wanita itu menjadi bimbang.
“Saya hanya duduk di situ dan menangis. Dia (Valmiki) kemudian berkata bahawa dia ingin melakukan upacara untuk membuang nasib malang itu,” ujarnya.
Selepas menyerahkan sebahagian wang miliknya, Valmiki menjelaskan bahawa dia akan melawat rumah Poonam untuk membuang sihir.
Poonam berkata, sejurus tiba, mereka melakukan satu ‘upacara’ dengan menggunakan buah lemon, darah palsu dan membuang beberapa patung yang didakwa dirasuki roh jahat.
“Bagi upacara itu, mereka meminta wang sebanyak £11,720 (RM63,193). Apabila saya memberitahu sudah tidak mempunyai wang, mereka menyuruh saya menjual kereta, barang kemas dan harta benda yang lain,” katanya.
Poonam selain itu turut jatuh sakit selepas meminum air yang diberi kepadanya. Ketika itu, dia diminta memindahkan semua wang miliknya kepada Valmiki.
Namun, selepas mengugut untuk melaporkan hal itu kepada polis, Valmiki bertindak memulangkan sebahagian daripada wang milik Poonam. – Agensi