PETALING JAYA – Seorang ibu terkejut menjumpai lukisan seram dalam buku tulis anak perempuannya dan risau jika ia berkait dengan kesihatan mental.
Video TikTok berdurasi satu minit yang dimuat naik oleh ibu tersebut dikenali sebagai Herdiana menarik perhatian orang ramai dan rata-rata komen berkata, lukisan tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan penyakit mental.
“Ibu terkejut tengok buku tulis anak perempuan terdapat lukisan seperti ini. Dia mengalami tekanan perasaan atau bagaimana agaknya?” tulis ibu itu pada video tersebut.
Tambah Herdiana di ruangan komen, anak perempuannya tidak pandai melukis, namun sejak kebelakangan ini, anaknya suka tidur di ruang tamu.
Katanya, terdapat satu lukisan yang berlatar belakang ruang tamu rumahnya dan anaknya cuma ketawa apabila diajak berbincang mengenai hal tersebut.
“Sis, ini tanda kemurungan. Bawa pergi berubat, dia (anak perempuannya) dalam bahaya. Ada yang tidak berhenti bercakap dalam kepala dia,” kata salah seorang pengguna TikTok.
Ada juga yang mengatakan bahawa anaknya mungkin keseorangan dan ada ‘benda’ yang menemaninya ketika dia berseorangan.
Rata-rata komen juga menasihati agar ibunya membawa anaknya berjumpa dengan pakar bagi mengesan awal penyakit tersebut sebelum menjadi lebih teruk.
Herdiana dalam satu video lain di TikTok turut meluahkan, dia tidak pernah membezakan anak-anaknya. malah memberikan layanan yang sama rata.
“Ya Allah, anak ibu maafkan ibu sebab abaikan perasaan kakak. Kakak nampak ceria di luar, tapi dalaman kakak sangat teruk.
“Ibu selalu nampak salah kakak bila kakak cuba luah sesuatu. Ibu minta maaf sayang, ibu baru sedar,” luahnya.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih tontonan sebanyak 1.8 juta dengan 4,210 perkongsian dan 136,300 tanda suka. – KOSMO! ONLINE