BOSTON, MASSACHUSETTS – Dua cef selebriti TikTok di Amerika Syarikat (AS) memecah Guinness World Records selepas berjaya menyediakan sushi gulung selebar 2.16 meter, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Duo tersebut dalam masa sama turut memecah satu lagi rekod dunia dalam percubaan itu.
Nick DiGiovanni dan Lynn ‘Lynja’ Davis bekerjasama sekali lagi di Boston, Massachusetts untuk menyediakan sushi gulung gergasi menggunakan 907 kilogram (kg) beras, 226 kg ikan salmon, 236 kg timun, beribu-ribu helai nori (rumpai laut kering) dan jutaan bijan.
Dalam percubaan itu, mereka berjaya memecah rekod kedua untuk kategori masa paling pantas menyiang ikan seberat 4.5 kg.
Mereka menyiapkannya dalam masa 1 minit dan 0.29 saat, mengatasi rekod cef terkenal, Gordon Ramsay.
Duo itu kemudian memecah rekod untuk kategori sushi gulung terbesar (paling lebar) yang berukuran selebar 2.16 meter.
Makanan itu kemudian disumbang ke sebuah pusat perlindungan gelandangan di Boston. – Agensi