fbpx

6 diberkas, pistol 20 biji peluru dirampas kes gaduh di JB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian merusuh di pusat bandar raya Johor Bahru, awal pagi semalam.

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan enam individu termasuk seorang warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh dilaporkan berlaku di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 52 tahun.

Menurut beliau, keenam-enam suspek ditahan dalam beberapa serbuan yang dijalankan di sekitar Larkin dan Masai bermula pukul 9.40 malam, semalam.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan suspek dalam rusuhan itu termasuklah sepucuk pistol, 20 butir peluru, kad senjata dan borang kebenaran menggunakan senjata, serta lima telefon bimbit.

“Polis juga sedang mengesan beberapa lagi suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian rusuhan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Raub, rusuhan tersebut dipercayai membabitkan seramai sekumpulan 10 lelaki yang bertindak memukul seorang lelaki berusia 19 tahun secara beramai-ramai, dipercayai berpunca daripada seorang wanita.

Katanya, mangsa berkenalan dengan seorang wanita warga asing berusia 20-an, yang merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa.

“Ketika mangsa dan wanita berkenaan sedang minum bersama, mangsa diserang secara beramai-ramai dan dicederakan menggunakan tangan dan kaki serta pelbagai perkakas yang dijadikan senjata antaranya kerusi, meja dan peralatan memasak,”

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan dan kaki. Dia bagaimanapun telah dirawat di Hospital Sultanah Aminah sebagai pesakit luar,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular beberapa rakaman video dan gambar yang menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.

Rakaman video turut menunjukkan lelaki berkenaan dan wanita terbabit diacu dengan sepucuk pistol oleh salah seorang suspek. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI