BERMULA detik 8.30 malam, setiap ruang Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dipenuhi dengan alunan muzik pop jazz dan lontaran vokal hebat kumpulan muzik popular Indonesia, Maliq & D’Essentials.
Bersulam energi luar biasa, semuanya bagaikan tidak puas meskipun sudah ‘bertapa’ di dalam DFP selama dua jam.
Memulakan ‘jampi’ dengan lagu-lagu popular iaitu Setapak Sriwedari, Senja dan Teduh, seleksi awal tersebut cukup untuk membasuh rindu peminat selepas hampir 10 tahun tidak menjejakkan kaki di Malaysia.
Usai merawat rindu, mereka membolos ruang-ruang emosi penonton menerusi lagu-lagu melankolik, Kangen dan Sampai Kapan.
Dua lagu tersebut merupakan antara karya awal mereka dalam album studio pertama, 1st sekitar 2005.
Kembali merancakkan pentas, kumpulan yang dianggotai Angga (vokalis), Indah (vokalis kedua), Lale (gitar), Widi (drum), Jawa (bass) dan Ilman (keyboard) menyambung dansa mereka menerusi Heaven, Terlalu dan Coba Katakan.
Kumpulan yang ditubuhkan sejak 2002 itu sekali lagi mengusik emosi ramai dengan lagu ‘cover’ Cinta Kau Dan Dia nyanyian asal Dewa 19. Hasilnya, seisi dewan turut menyanyi bersama!
“Apakah makna cinta tanpa ada sebarang usaha untuk membuktikannya,” ucap Angga sebelum mendendangkan Himalaya penuh mengkhayalkan.
Usai Himalaya, mereka menggamatkan dewan dengan lagu Untitled yang dikatanya sudah beribu kali dinyanyikan dalam setiap persembahan.
“Ini lagu yang paling banyak diminta ramai. Tidak terucap perasaan melihat ramai yang sangat menyukainya,” tutur Indah yang sememangnya sangat ligat pada malam itu.
Menutup persembahan, seluruh dewan gamat dan penonton asyik berdansa tatkala lagu menari, Dia, Drama Romantika dan Pilihanku berkumandang.
Berkongsi kisah karier, Angga atau nama penuhnya Angga Puradiredja bercerita terlalu banyak cabaran dilalui mereka untuk terus bertahan sehingga hari ini.
Perjalanan tersebut diibaratkan seperti berperang mempertahankan nyawa di medan pertempuran.
“Setiap tahun kami akan memaksa diri menghasilkan karya baharu untuk terus bertahan. Ketika ini ramai penyanyi baharu yang muncul terutama dalam media sosial.
“Namun, tidak semua yang bersedia untuk ‘berperang’ dalam medan ini. Tampil dengan lagu berkualiti dan persembahan terbaik, itu rahsia survival kami sehingga kini,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, mereka baru saja muncul dengan album, Raya sebagai tanda meraikan semangat dan perjuangan kekal bertahan pada detik yang sukar.
“Raya merupakan buah tangan yang kami luncur pada era pandemik iaitu fasa paling getir penggiat seni.
“Untuk konsert kali ini, kami dendangkan beberapa buah lagu dalam album tersebut. Sangat terharu ramai peminat di sini sedar kewujudannya,” tutupnya.