GAYA hidupnya sering mendapat perhatian netizen, tetapi Cinta Laura mengakui dia sebenarnya tidak suka berbelanja dan memilih hidup yang sederhana.
Kata Cinta, dia tidak mementingkan jenama sebaliknya sentiasa mempunyai keyakinan diri sama ada memakai baju biasa atau mewah.
“Saya percaya kehebatan kita bukan datang daripada apa yang kita pakai. Tetapi terbukti daripada perbuatan kita.
“Jadi apa yang diperlukan ialah keyakinan yang tinggi walau apa juga yang kita pakai,” ujarnya.
Tidak malu memperagakan jenama tempatan, aktres popular itu sering dilihat tampil memukau dan bergaya tanpa barangan mahal.
Pelakon sinetron Upik Abu dan Laura itu berkata, dia lebih suka menghabiskan duitnya dengan membantu orang yang lebih memerlukan.