fbpx

K2

Rancang agihan harta, pusaka sebelum terlambat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AGIHAN harta orang Islam boleh dibuat semasa hidup atau selepas kematian seseorang pemilik. – Gambar hiasan

AGIHAN harta dan pusaka tidak semestinya berlaku setelah seseorang itu sudah meninggal dunia.

Tanggapan bahawa agihan hanya berlaku melalui peninggalan harta pusaka semata-mata merupakan perkara tidak tepat sepenuhnya.

Menerusi ruangan ini, saya ingin berkongsi tentang keunikan dan fleksibelnya beberapa kaedah agihan harta yang boleh dilaksanakan oleh orang Muslim.

Dalam Islam, suatu perancangan harta boleh dibuat untuk dilaksanakan sama ada semasa hidup seseorang pemilik harta mahupun selepas kematiannya.

Ia boleh diberikan kepada waris dan bukan waris, tertakluk kepada peraturan-peraturan yang terpakai kepada instrumen dipilih.

Fakta ini memberikan fleksibiliti kepada seseorang untuk memperuntukkan sebahagian harta dimiliki bagi faedah ahli keluarga dan penerima ditentukan.

Meskipun agihan harta menerusi pusaka merupakan kaedah utama yang dilaksanakan, namun terdapat beberapa mekanisme perancangan boleh dibuat oleh seseorang pemilik.

Perancangan harta melalui hibah misalnya boleh dibuat kepada waris dan bukan waris untuk dikuatkuasakan semasa hayat penghibah.

Seorang anak angkat boleh dinamakan sebagai benefisiari atau penerima hibah, walaupun dia bukanlah waris sah menurut hukum syarak.

Jika tiada pemberian menerusi hibah, wasiat atau lainnya, maka seseorang anak angkat tidak boleh memiliki harta yang ditinggalkan.

Dia juga bukanlah seorang waris pusaka melainkan jika ada hubungan dengan pemilik harta berkenaan yang melayakkannya mendapat bahagian dalam peninggalan si mati.

Begitu juga anggota keluarga atau pihak bukan Islam boleh dinamakan oleh penghibah sebagai penerima hartanya.

Hibah juga boleh dibuat kepada ahli waris seperti anak-anak.

Menurut jumhur fuqaha, pemberian secara adil kepada mereka adalah sunat.

Penting untuk dinyatakan bahawa harta yang dihibahkan wajar dibuat pindah milik semasa hidup penghibah.

Ia bagi mengelakkan berlakunya sebarang pertikaian selepas kematian pemilik, khususnya apabila agihan harta hendak dilaksanakan.

HARTA yang dihibahkan seperti rumah wajar dibuat pindah milik semasa hayat penghibah. – Gambar hiasan

Pastikan juga penerima harta telah mengambil bahagian yang dihibahkan kepadanya seperti mengusahakan tanah, mendiami rumah pusaka dan menggunakan kenderaan.

Di samping melaksanakan urusan pindah milik yang disebutkan tadi, pelaksanaan hibah tersebut tidak boleh dipertikaikan lagi kecuali jika terdapat unsur-unsur tidak wajar atau berbangkit mengenainya.

Selain hibah, seseorang pemilik harta boleh mewasiatkan hartanya untuk dinikmati oleh penerima yang ditentukan dengan takat tidak melebihi 1/3 daripada baki bersih harta peninggalannya.

Jika berlaku lebihan, maka kesahannya bergantung kepada persetujuan waris lain selepas kematian pewasiat.

Wasiat juga tidak boleh dibuat kepada ahli waris, melainkan ahli waris lain bersetuju selepas kematian pewasiat.

Wasiat juga boleh diperuntukkan untuk tujuan agama dan khairat umum seperti maslahat tempat peribadatan, kepada fakir miskin dan lainnya.

Namun, ia perlu berpandukan kepada hukum wasiat dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan tadi.

Sebagaimana hibah, wasiat juga boleh diperuntukkan kepada anggota keluarga atau pihak bukan Islam.

Selanjutnya, wakaf juga boleh dijadikan kaedah perancangan yang terbaik untuk seseorang bersedekah dan menginfakkan hartanya.

Wakaf juga memberi peluang terbaik kepada seseorang pemilik harta untuk berbakti kepada anggota keluarganya melalui instrumen wakaf keluarga atau dikenali sebagai wakaf zurri dan wakaf ahli.

Sebagaimana hibah dan wasiat, wakaf juga boleh dibuat kepada anggota keluarga atau pihak bukan Islam.

Berbanding dengan konsep harta-harta lain, wakaf dapat memastikan manfaat berkekalan diperolehi oleh penerimanya.

Ini kerana konsep wakaf memerlukan fizikal asal harta yang diwakafkan untuk dikekalkan dengan manfaatnya diberikan kepada penerima berkelayakan atau digunakan untuk tujuan sah.

Harta yang diwakafkan tidak boleh terlibat dalam sebarang bentuk transaksi pindah milik, dijual, diwarisi oleh waris serta dihibahkan kepada penerima atau tujuan lain.

Menariknya, wakaf telah diiktiraf sebagai sedekah jariah dengan seseorang yang berwakaf diberikan ganjaran pahala tidak putus oleh Allah SWT walaupun dia telah meninggal dunia.

Pastikan wakaf yang dibuat didaftarkan dengan Majlis Agama Islam Negeri kerana badan ini merupakan pemegang amanah tunggal harta wakaf negara mengikut undang-undang.

Perkara penting yang perlu diketahui oleh masyarakat juga adalah perlunya hasrat dan agihan-agihan harta dibuat menerusi surat cara dan sighah jelas dan sah menurut hukum syarak.

Ini bagi memastikan hasrat dan keinginan pembuat harta dapat dilaksanakan secara sah serta boleh berkuatkuasa tanpa masalah berbangkit pada kemudian hari.

Demikianlah beberapa kaedah perancangan harta dan pusaka yang boleh dilaksanakan oleh seseorang pemilik harta secara fleksibel.

Ternyata, ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada ummah dan orang tersayang, malah ganjarannya turut diperolehi si pembuat harta.

Tanpanya, harta peninggalan akan tetap diagihkan mengikut hukum pusaka dengan takat dan agihan tertentu kepada ahli waris.

Walau apapun, pusaka kekal sebagai instrumen agihan harta utama berdasarkan ketetapan yang adil menurut kaca mata syariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI