KLANG – Pakatan Harapan (PH) akan mengekalkan semua barisan calon telah diumumkan bertanding di semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya berpuas hati dengan barisan calonnya meskipun BN serta Perikatan Nasional (PN) menampilkan calon-calon popular yang akan bertanding.
“Apapun, dunia politik ini penuh dengan kejutan. Setakat ini, kita masih kekal dengan keputusan yang sudah dibuat,” katanya ringkas selepas melancarkan Tawaran Harapan di Hotel Wyndham Acmar di sini hari ini.
Beliau membuat penegasan itu selepas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli terlebih dahulu memaklumkan di Facebook beliau akan berbincang dengan Anwar berkenaan calon PH di Parlimen Sungai Buloh.
PKR pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa parti itu akan meletakkan Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R. Ramanan sebagai calon di Parlimen Sungai Buloh bagi menggantikan penyandangnya R. Sivarasa.
BN pula malam tadi mengumumkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Kesihatan untuk bersaing di kerusi Parlimen tersebut menyebabkan penyokong PH menyarankan supaya calon PH ditukar. – KOSMO! ONLINE