GEORGE TOWN – Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM) Nasional, Richie Huan Xin Yun dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera.
Perkara itu diumumkan menerusi Facebook Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan hari ini.
Richie yang merupakan anak Cheng Guan dinamakan sebagai calon baharu bagi menggantikan Razalif Mohd. Zain yang digugurkan daripada menjadi wakil BN bagi kerusi berkenaan.
Cheng Guan berkata, Majlis Tertinggi PCM sudah berbincang dan mendapati Richie adalah calon paling sesuai untuk mewakili BN di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15).
“PCM ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN kerana beri peluang PCM bertanding pada PRU15.
“Kami telah berbincang dan mendapati calon yang paling sesuai bagi Parlimen Bukit Bendera ialah Ketua Pemuda PCM Nasional,” katanya.
Semalam, BN mengumumkan Razalif daripada PCM akan bertanding mewakili parti itu di kerusi Parlimen Bukit Bendera.
Bagaimanapun, sejak awal pagi ini timbul desas-desus mengenai kemungkinan pencalonan Razalif bagi mewakili BN di kerusi berkenaan dibatalkan dan diganti calon lain.
Menurut Cheng Guan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kedudukan demografi, kebajikan rakyat serta pengundi di Parlimen Bukit Bendera.
“Sebagai Ahli Friends of BN sudah pasti peluang ini memberi makna bahawa BN adalah sebuah gabungan parti yang sangat harmoni dan bersesuaian dengan tema BN pada PRU15 ini iaitu kestabilan dan kemakmuran,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE