HULU TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) bersedia menerima mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) yang digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak dahulu, sesiapa sahaja diterima asalkan memahami dasar gagasan tersebut.
“Dasar PN, sesiapa hendak menjadi ahli, kita tidak pernah halang atau sekat. Terpulang kepada hak masing-masing.
“Begitupun kalau mahu menjadi calon (PRU15) itu hal lain kerana kerusi-kerusi PN sudah dimuktamadkan semalam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun menyerahkan kepada kepimpinan PN negeri sekiranya terdapat mana-mana pemimpin BN berminat untuk menyertai gagasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengakui terkejut dengan pengguguran agak ramai pemimpin berpengalaman BN sebagai calon PRU15 seperti Tan Sri Anuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Noh Omar.
“Bukan sahaja orang UMNO (BN) gempar malah orang lain juga tetapi saya tidak mahu komen banyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE