KANGAR – Keputusan Barisan Nasional (BN) menamakan calon baharu di dua kerusi Parlimen di negeri ini harus dilihat sebagai satu langkah berani dalam melakukan pembaharuan dalam blok politik itu.
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, perubahan dan pembaharuan yang dilakukan itu adalah sesuai dengan dinamik politik semasa.
“Pembaharuan sebegini lah yang ingin dilihat oleh rakyat dan akar umbi BN.
“Perubahan daripada segi nama-nama calon adalah satu proses yang bersifat perubahan dan normal berlaku dalam semua parti atau mana-mana entiti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertukaran calon-calon baharu dan pengguguran dua nama besar melibatkan Datuk Seri Shahidan Kassim di kerusi Arau dan Datuk Zahidi Zainul Abidin di Padang Besar.
Ketika ditanya adakah keputusan Shahidan menyertai Perikatan Nasional (PN) memberi kesan kepada BN, Azlan yang juga Menteri Besar Perlis memberitahu, rakyat sudah matang untuk membuat penilaian.
“Jika Shahidan buat keputusan untuk sertai PN, itu adalah keputusan peribadi beliau.
“Saya yakin rakyat sangat matang dan bijak dalam membuat penilaian serta keputusan berhubung hala tuju Parlimen Arau dan lima lagi Dewan Undangan Negeri (DUN)di bawahnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE