IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melarang sebarang bentuk kempen politik di semua masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, larangan ini bagi menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memastikan kesucian Islam dipelihara dan institusi agama dilindungi dari dicemari oleh kegiatan politik kepartian.
“JAIPk dengan ini menetapkan peraturan serta panduan mengenai program dan aktiviti yang dianjurkan di masjid, surau, maahad tahfiz dan sekolah agama sepanjang tempoh kempen PRU15.
“Arahan ini berkuat kuasa mulai solat Maghrib hari Jumaat, 4 November 2022 sehingga solat Subuh 20 November 2022,” katanya menerusi satu pekeliling hari ini.
Ujarnya, JAIPk juga turut mengeluarkan peraturan dan panduan mengenai program dan aktiviti yang dianjurkan di masjid, surau, maahad tahfiz dan sekolah agama sepanjang kempen PRU15.
“Antara perkara yang dilarang, calon, pemimpin, petugas parti politik mengambil alih tugas imam dan khatib daripada pegawai masjid.
“Semua solat jemaah fardhu atau sunat dipimpin pegawai masjid, kelas pengajian dan al-Quran menurut yang telah dijadualkan, bacaan khutbah Jumaat disampaikan oleh pegawai masjid atau surau,” katanya.
Katanya, semua aktiviti berkempen tidak dibenarkan seperti ceramah, ucapan, lawatan, pemasangan lambang, bendera, poster serta mengedarkan risalan kempen dan manifesto.
“Dilarang juga mengumumkan bantuan, penyerahan sumbangan dan tajaan jamuan atas nama calon dan parti politik.
“Memasang lambang, bendera parti dan poster calon di dalam bangunan dan pekarangan masjid, surau, maahad tahfiz serta sekolah agama juga dilarang.
“Jika terdapat sebarang keraguan, pihak yang berkenaan dinasihat merujuk dan mendapatkan nasihat Orang Besar Jajahan atau Pegawai Tadbir Agama,” katanya. – KOSMO! ONLINE