BENTONG – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang dari DAP, Leong Yu Man menganggap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlainan kerana lebih mencabar atas faktor perdana menteri yang menjadi penyandang Parlimen Bera.
Sehubungan itu beliau yang menyandang kerusi DUN Triang sejak 1990 tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat majoriti besar.
“Triang kali ini memberi cabaran besar kerana Bera menjadi kawasan Perdana Menteri dan sudah tentu banyak sumber dicurahkan untuk merampas DUN Triang.
“Selain itu cabaran kita ialah rakyat pernah memberi peluang Pakatan Harapan (PH) walaupun hakikatnya PH bukan tidak baik tetapi setengah tidak penuhi harapan dan mereka kecewa dengan pengkhianatan,” katanya ketika ditemui pada majlis pemgumuman calon DAP di sini malam semalam.
Pada majlis itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan DAP akan bertanding di lapan kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen di Pahang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Leong Yu Man menang dengan majoriti 6,454 undi apabila memperoleh 11,222 undi menewaskan Tan Tin Loon dari Barisan Nasional yang memperoleh 4, 768 undi.
Terdapat tiga DUN dalam Parlimen Bera iaitu Guai, Kemayan dan Triang yang dilabelkan sebagai kubu kuat DAP.
Menurut Yu Man pihaknya juga tidak memandang mudah calon BN pada kali ini daripada MCA yang dilihat menggerakkan jentera sepenuhnya.
Dalam pada itu, calon baharu DAP di Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, meskipun kali pertama bertanding beliau menaruh keyakinan dapat menarik sokongan pengundi di kawasan itu.
Beliau yang berkelulusan sarjana muda English Linguistik berkata, akan memperjuangkan isu petani dan usahawan di tanah tinggi Cameron Highlands. – KOSMO! ONLINE