KOTA KINABALU – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal menyaksikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempertahankan kerusi ‘keramatnya’ di Parlimen Kinabatangan.
Pengumuman berkenaan dibuat beliau ketika mengumumkan senarai nama calon BN Sabah termasuk dirinya pada Majlis Pengumuman Calon PRU-15 GRS-BN hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi kawasan parlimen berkenaan sejak tahun 1999.
Selain Bung Moktar, 10 calon BN lain yang bakal bertanding dalam PRU-15 ialah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud), Datuk Yakub Khan (Sepanggar), Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan), Datuk Siti Aminah Aching (Beaufort), Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan), Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datin Maizatul Akmam Alwi (Lahad Datu), Jamawi Jaafar (Tenom) dan Aslam Fadli Samsul Alang (Kalabakan).
Dalam pengumuman sama, turut diumumkan nama calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang bakal ditandingi calon BN, Abdul Aziz Mohd Ibno.
Sementara itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diumumkan oleh pengerusinya, Datuk Hajiji Noor bakal berentap di 13 kerusi parlimen.
Semua kawasan terbabit diwakili calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
BERSATU diwakili enam calon iaitu Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Ruddy Awah (Kudat), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Matbali Musa (Sipitang), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Nixon Abdul Habi (Semporna).
GRS juga mengetengahkan empat calon PBS seperti Datuk Seri Maximus Ongkili (Kota Marudu), Datuk Joniston Bangkuai (Tuaran), Yee Tsai Yiew (Kota Kinabalu) dan Lo Su Fui (Tawau).
Selain itu, turut dicalonkan dua calon STAR untuk Parlimen Keningau serta Penampang yang masing-masing diwakili Datuk Seri Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Kenny Chua (Penampang) selain satu calon daripada SAPP iaitu Thomas Lau Chee Keong (Sandakan).
Dalam pada itu, satu lagi kerusi parlimen iaitu Beluran masih dalam perbincangan. – KOSMO! ONLINE