IPOH – Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak iaitu Aulong, Jelapang, Sungkai and Buntong.
Menurut Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, DUN Aulong pada asalnya kerusi milik Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) manakala tiga yang lain milik MIC.
Katanya, komponen BN masih berbincang mengenai pembahagian kerusi tersebut dengan dirinya sendiri belum mendapat nama calon bagi semua DUN berkenaan.
“Mereka belum menamakan lagi kepada saya. Semalam untuk Parlimen dah diumumkan, DUN belum lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada masa sama, Saarani menegaskan BN akan meletakkan calon di semua kerusi dipertandingkan pada pilihan raya ini. – KOSMO! ONLINE