PARIS – Impian pemain tengah Juventus, Paul Pogba untuk beraksi pada Piala Dunia Qatar 2022 berkecai selepas dia diketepikan oleh pasukan Perancis.
Menurut ejen Pogba, Rafaela Pimenta, pemain berusia 29 tahun tersebut masih dibelenggu kecederaan dan memerlukan masa lebih lama untuk pulih daripada pembedahan lutut.
Pogba didapati mengalami kecederaan tisu meniskus pada lutut kanannya terkoyak ketika menjalani latihan pramusim di Los Angeles pada Julai lepas.
“Susulan penilaian perubatan semalam dan hari ini di Torino dan Pittsburgh, dukacita dimaklumkan yang Paul Pogba memerlukan masa untuk sembuh daripada pembedahannya.
“Atas sebab itu, Pogba tidak akan dapat menyertai skuad Juventus sebelum rehat Piala Dunia atau pasukan Perancis di Qatar.
“Tetapi ketika ini, Pogba tidak berputus asa dan akan bekerja keras sepanjang sesi pemulihan kecederaan tersebut untuk kembali ke pasukannya secepat mungkin,” kata Pimenta.
Perancis akan memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang Australia pada 22 November ini sebelum berdepan Denmark dan Tunisia dalam dua lagi perlawanan Kumpulan D mereka. – AGENSI