BANGI – “Perkhidmatan awam negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.”
Itu respon Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali ketika disoal media berkenaan persediaan perkhidmatan awam dalam mendepani gelombang kecil Covid-19 varian Omicron XBB.
Dalam masa sama Mohd. Zuki berkata, penjagaan kendiri masyarakat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan penularan wabak dapat dikekang dengan lebih baik.
“Kita kini berada di era endemik manakala penggunaan pelitup muka dan sebagainya pun telah dikurangkan.
“Namun kita selalu ingatkan orang ramai untuk beri perhatian khusus kepada kesihatan kendiri juga dan patutnya kena bersedialah.
“Kita pun tak tahu varian baru ni bagaimana kesannya tapi premis-premis kerajaan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan,” katanya kepada media selepas berucap di program Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2022, di sini, hari ini.
Sebelumnya, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran negara kini berdepan dengan gelombang kecil Covid-19 varian Omicron XBB.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, gelombang itu dijangka menyebabkan negara merekodkan peningkatan kes dalam beberapa minggu akan datang.
Setakat ini katanya, terdapat empat kes XBB terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 25 hingga 51 tahun dari Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa agensi-agensi kerajaan ketika ini turut bersedia menghadapi Monsun Timur Laut yang kebiasaannya bermula pada pertengahan November.
“Dari segi persediaan khususnya selepas apa yang dilalui sebelum ini, mereka dah bersedia dan maklum tanggungjawab serta peranan masing-masing.
“Saya sentiasa memantau manakala mesyuarat jawatankuasa teknikal atau jawatankuasa pengurusan bencana pun diadakan setiap dua minggu sekali dan saya sentiasa diberikan ‘update’ tentang status banjir terkini,” katanya. – KOSMO! ONLINE