fbpx

Penyanyi rap Takeoff maut ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENDIANG Takeoff atau nama sebenarnya, Kirshnik Khari Ball ditembak akibat permainan dadu.

PENYANYI rap popular, Takeoff yang juga ahli kumpulan Migos meninggal dunia selepas ditembak di sebuah pusat bowling di Houston, Texas, Amerika Syarikat, semalam.

Tragedi berdarah yang berlaku pada awal pagi (waktu tempatan) tersebut dikatakan berpunca daripada permainan dadu hingga saksi mengatakan lima das tembakan dilepaskan pelaku.

Takeoff atau nama sebenarnya Kirshnik Khari Ball, 28, dikatakan menghembuskan nafas terakhir di depan bapa saudaranya yang juga anggota Migos, Quavo.

Seorang lagi ahli trio tersebut iaitu sepupunya dan suami kepada penyanyi Cardi B, Offsett, tidak bersama mereka kerana meraikan Halloween dengan keluarganya.

Ketika kejadian, penyanyi itu menghadiri satu parti tertutup di luar premis 810 Billiards & Bowling Houston.

Dilaporkan, imej dari lokasi menampakkan Takeoff terbaring kaku berlumuran darah dipercayai ditembak pada bahagian kepala.

Tembakan berkenaan berlaku sejam selepas dia memuat naik satu hantaran dalam Instastory mengenai kehadirannya di parti tertutup tersebut.

Dianggarkan, kira-kira 50 orang berada di tempat kejadian sebelum berlaku pertengkaran dan disusuli tembakan yang mengena Takeoff serta dua lagi mangsa.

Dua mangsa lain sudah mendapatkan rawatan di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, ruangan komen pada hantaran terbarunya dalam Instagram yang mempunyai lapan juta pengikut dibanjiri ucapan takziah orang ramai termasuk peminat dan rakan selebriti.

Ramai penyanyi serta selebriti menzahirkan rasa sedih atas kehilangannya seperti Ja Rule, Kid Cudi, DJ Khalid, Dave, Kloe Kardashian dan Rick Ross.

Tiada tangkapan dilakukan setakat ini, tetapi Datuk Bandar Houston Sylvester Turner meminta sesiapa yang mempunyai maklumat dapat tampil membantu siasatan.

Migos yang melancarkan album pertama berjudul Rich Nation pada Jun 2015 pernah dua kali dicalonkan dalam Anugerah Grammy, malah album terbabit turut menduduki tangga ketiga carta Album Rap Top Billboard. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI