MINGGU ini, selain debaran menanti calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk mewakili kita di Parlimen, satu lagi pengumuman penting ialah Pernyataan Dasar Monetari sehubungan Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang diumumkan esok.
Ramai penganalisis ekonomi berpandangan kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan sekali lagi, juga pada kuantum sama iaitu sebanyak 25 mata asas yang akan membawa OPR kepada paras 2.75 peratus.
Selepas kenaikan sebanyak tiga kali berturut-turut tahun ini, kali terakhir pada 8 September lalu, pastinya semakin ramai menyedari impak kenaikan OPR pada kos pinjaman bank yang melibatkan kadar faedah terapung seperti pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi.
Untuk pengiraan mudah, bagi pinjaman perumahan bernilai RM100,000 untuk tempoh 30 tahun, kenaikan sebanyak 25 mata asas akan mengakibatkan kenaikan bayaran balik pinjaman bulanan sekitar RM14 hingga RM15.
Mengambil contoh sekiranya seseorang mengambil pembiayaan perumahan berjumlah RM300,000 (median harga kediaman di Malaysia adalah RM320,000 pada suku tahun kedua 2022, berdasarkan statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta), komitmen bulanan kepada bank akan bertambah sehingga RM45 sebulan.
Justeru, jika BNM mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas esok, peminjam perlu membayar sehingga RM180 lebih tinggi berbanding awal tahun ini.
Itu pertambahan bayaran bulanan, pertambahan kos pinjaman secara keseluruhan pastinya jauh lebih tinggi.
Bagi Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, beliau secara peribadinya berharap OPR tidak dinaikkan buat kali ke-4 berturut-turut esok dan berdasarkan sejarah, kekerapan tertinggi untuk kenaikan OPR hanyalah sebanyak tiga kali berturut-turut.
Pun begitu katanya, sekiranya OPR tidak dinaikkan lagi pada tahun ini, kenaikan pasti berlaku tahun depan dengan jangkaan kenaikan keseluruhan sebanyak 75 mata asas, sama seperti tahun semasa.
“Memang BNM mempunyai sebab untuk menaikkan OPR sekali lagi pada 3 November ini antaranya untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing berbanding negara-negara lain yang turut menaikkan kadar faedah masing-masing terutamanya Amerika Syarikat.
“Saya menjangkakan OPR akan terus dinaikkan sehingga ke paras 3.25 peratus pada tahun depan sama seperti paras sebelum pandemik,” katanya ketika dihubungi.
Ahmed Razman menambah, disebabkan persekitaran peningkatan kadar faedah, sekarang bukan masa sesuai untuk rakyat membuat pinjaman bank baharu dan budaya berbelanja hanya berdasarkan keperluan perlu diteruskan.
“Rakyat turut disarankan supaya meneroka peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan terutamanya yang dapat membawa kepada pertumbuhan pendapatan atau mewujudkan saluran pendapatan baharu.
“Selain itu, kita juga perlu bijak berbelanja dengan mengutamakan barangan keluaran tempatan berbanding import yang tertakluk kepada tukaran wang asing,” katanya.
Sementara itu, Ahmed Razman yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Putra Business School berkata, kerajaan dan majikan swasta disarankan supaya mempertimbangkan cadangan untuk membayar gaji lebih awal bulan depan iaitu sebelum 19 November bagi menggalakkan rakyat pulang melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi di kawasan masing-masing.
“PRU hanya datang lima tahun sekali dan melibatkan masa depan negara, jadi saya fikir amat wajar pihak majikan membantu rakyat balik mengundi sekiranya ada keperluan berbuat demikian,” ujarnya.