TAIPEI – Sekurang-kurangnya tiga artifak era Dinasti Ming (1368-1644) dan Dinasti Qing (1644-1911) yang disimpan di Muzium Istana Nasional, Taiwan pecah sejak 18 bulan lalu, lapor laman berita Wion News.
Menjawab soalan seorang wakil rakyat tempatan, pihak muzium mengaku bahawa sebiji mangkuk, cawan teh dan pinggan pecah dalam tiga insiden berasingan.
Pada Jumaat lalu, ketua pembangkang Taiwan, Chen I-shin menuduh pengarah muzium, Wu Mi-cha cuba menyembunyikan laporan bahawa Muzium Istana Nasional memecahkan khazanah pulau itu.
Namun, dalam satu sidang akhbar, Mi-cha menafikan tuduhan terhadap dirinya dan berkata, mereka tidak menyembunyikan berita tersebut selain mengaku tiga item daripada arkib muzium itu pecah.
Katanya, semua artifak yang pecah bukan dipamerkan dan diinsuranskan, manakala nilai keseluruhannya tidak melebihi AS$77.85 juta (RM368.5 juta). Menurut laporan, muzium terletak di pinggir Taipei itu menyimpan koleksi artifak Cina terbesar di dunia.
Artifak itu pecah antara 2021 dan 2022. Menurut Mi-cha, kejadian pertama berlaku pada Februari 2021, diikuti insiden pada 7 April 2021 dan kejadian ketiga Mei lalu.
Kakitangan muzium sedang menyusun artifak Cina apabila mendapati ‘cawan teh berukir dua naga hijau’ era Dinasti Ming dan ‘cawan teh kuning’ rosak.
Kata Mi-cha, pemeriksaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) gagal menemui orang yang bertanggungjawab melakukan kerosakan itu. Beliau sebaliknya percaya artifak itu rosak kerana kaedah penyimpanan tidak memuaskan.
Pengarah itu seterusnya memberi jaminan bahawa pihak muzium sedang berusaha menaik taraf kaedah penyimpanan dan menambah baik pembungkusan arkib porselin pada tahun depan. – Agensi