fbpx

Muzik, alam semula jadi bersatu di TAPAUfest 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEBIH 3,000 pengunjung dan peminat membanjiri Tasik Raban, Lenggong, Perak sepanjang dua hari penganjuran festival TAPAUfest 2022.

PENGANJURAN acara terbesar komuniti indie tempatan, festival TAPAUfest 2022 yang berlangsung pada 22 dan 23 Oktober lalu berjaya mencipta pengalaman baharu buat pengunjung.

Lebih 3,000 pengunjung dan peminat yang menyerbu festival tersebut berpeluang merasai pengalaman baharu dengan kurasi muzik dan seni berlatarkan nuansa alam semula jadi di Tasik Raban, Lenggong, Perak.

Pengasas dan pengarah TAPAUfest, Ahmad Faris berbangga dengan sambutan yang diterima pada tahun ini selain kerjasama hebat daripada semua pihak yang terlibat.

SALAMMUSIK antara kumpulan indie tempatan yang memenuhi barisan penghibur pada TAPAUfest 2022.

“TAPAUfest tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) yang benar-benar menunjukkan kepercayaan terhadap komuniti indie sekali lagi,” ujarnya.

Festival muzik tersebut menghimpunkan barisan artis-artis indie ternama tempatan dan juga dari negara jiran, Indonesia dan Singapura.

Pentas persembahan TAPAUfest 2022 yang bermula pukul 5 petang dibuka oleh musisi dari Indonesia, .Feast sebagai tanda perkenalan mereka kepada penonton tempatan secara langsung buat pertama kali.

Menghangatkan suasana persembahan, Margasatwa menyampaikan seleksi lagu mereka dengan sempurna sambil pengunjung menyaksikan keindahan pemandangan matahari terbenam di Tasik Raban.

Bersambung pada sebelah malam, pentas diambil alih oleh Abangsapau (Singapura) dan The Times serta The Pinholes yang merancakkan suasana persembahan penuh bertenaga.

KUMPULAN The Times.

Baton persembahan bertukar tangan apabila Salammusik kemudian menghiburkan pengunjung meskipun ketika itu hujan renyai turun membasahi bumi.

Festival yang berlangsung selama dua hari tersebut menyaksikan kumpulan Kungfu Heidi menawan pengunjung dengan persembahan energetik gabungan hardcore dan hip-hop diiringi Serbuk Cheese, The Filters, Sobs dan Hindia pada sebelah malam.

Menariknya, penganjuran festival muzik tersebut bukan tentang hiburan semata-mata, bahkan lebih dari itu.

Contohnya kumpulan The Dare mengambil kesempatan memberi kesedaran tentang serangan seksual, sementara Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese menyampaikan keadilan sosial dalam lagu mereka.

Dalam pada itu, Salammusik menggunakan genre reggae dan ska sebagai wadah berbicara mengenai sosiopolitik, manakala Hindia pula mempromosikan kasih sayang, cinta dan perhatian.

Selain hiburan, penganjuran TAPAUfest 2020 turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti Pasar Serba Seri, Warung (penjualan makanan) dan Bengkel & Layar bersama Kakiseni.

KUMPULAN The Dare memberi kesedaran tentang serangan seksual dengan memegang sepanduk berwarna merah jambu.

Pasar Serba Serbi diinspirasikan daripada Woodstock dengan dipenuhi khemah yang membuka jualan pakaian terpakai, karya fizikal, karya seni dan kraf selain seleksi muzik daripada DJ kolektif, Disko Santan.

Sementara Bengkel & Layar pula memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan ilmu menerusi sesi ‘unravelling Lenggong’ oleh Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Majlis Daerah Lenggong, Khairul Ameer.

Tidak ketinggalan penganjuran bengkel seperti Wayang Kulit for Dummies dan tayangan filem pendek.

Justeru, penganjuran festival tersebut bukan hanya tentang sebuah pesta atau keraian tetapi membuka peluang untuk menghubungkan nilai positif antara komuniti setempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI