PETALING JAYA – Pelakon handalan, Azhan Rani kembali menjadi penderma darah plasma selepas setahun tidak dapat berbuat demikian akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Lebih menggembirakan, pelakon berusia 46 tahun itu telah genap menderma darah plasma untuk kali yang ke-50 hari ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Azhan berkongsi kegembiraan apabila dapat kembali berbakti kepada masyarakat, terutama individu yang memerlukan bekalan darah plasma.
“Saya kembali. Alhamdulillah hari ini dengan izin Allah SWT, saya kembali menjadi penderma apheresis (istilah penderman darah plasma). Hari ini genap beg ke-50. Lama tak sedut darah.
“Nak berkongsi sedikit info, penderma darah warna begini (putih) dipanggil penderma apheresis. Warna darah tidak merah sebab ini adalah darah plasma. Dalam darah merah ada darah plasma dan platelet,” jelasnya.
Menerusi perkongsian itu juga, Azhan sempat berseloroh apabila memaklumkan darah plasmanya akan ‘mengembara’ sehingga ke Australia dan lebih beruntung berbanding dirinya yang tidak pernah ke negara kanggaru itu.
“Darah plasma ini akan terbang ke Australia untuk diproses. Merasa darah aku pergi sana (Australia). Aku pun tak pernah sampai lagi. Setakat Arau, Perlis tu adalah juga dua tiga kali dah sampai,” katanya.
Pada masa sama, pelakon drama Nur itu sempat memanjatkan kesyukuran apabila kembali menjadi penderma darah plasma selepas setahun berehat.
Ujar Azhan, selepas dibenarkan semula menjadi penderma darah plasma, dia bercadang untuk melakukan sumbangan murni tersebut selang dua minggu sekali.
“Hari ini dapat jadi penderma apheresis semula selepas setahun berehat. Insya-Allah saya akan menderma setiap selang dua minggu,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan turut menyeru orang ramai supaya menjadi penderma darah untuk manfaat orang lain yang memerlukan dengan mengunjungi Pusat Darah Negara.
“Bagi mereka yang sihat dan layak, marilah sama-sama menderma darah. Menderma darah bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga sangat bermanfaat untuk kesihatan anda sendiri,” ujarnya.
Terdahulu, pelakon yang giat menjalankan aktiviti derma darah itu pernah terbabit dalam satu kemalangan motosikal di Jalan Templer, Rawang, Selangir pada awal tahun ini sehingga mengakibatkan tulang belikat pecah manakala tulang bahu dan rusuknya pula retak. – KOSMO! ONLINE