fbpx

Graduan berkerusi roda syukur terima ijazah, ceriakan ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurmelissa (tengah) ceria bersama ibu dan bapanya pada majlis Konvokesyen UniSZA ke-14 di Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Kekurangan diri yang menuntut pengajian dengan berkerusi roda menjadi sumber kekuatan Nurmelissa Mohd. Yadi, 24, belajar bersungguh-sungguh untuk menggenggam segulung ijazah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab tersebut berkata, keazaman untuk mengubah nasib keluarga menjadi azimatnya sepanjang pengajian.

“Saya mahu membalas jasa ayah dan ibu yang sabar membesarkan dengan merealisasikan impian mereka untuk melihat saya berjaya seperti insan normal lain.

“Semoga kejayaan kecil menggenggam ijazah ini dapat menggembirakan kedua orang tua saya,” katanya selepas menghadiri majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Nurmelissa berkata, ayahnya, Mohd. Yadi Taib, 54, bekerja sebagai pemandu lori manakala ibu, Saripah Abu Bakar, 54, menjadi pembantu kedai makan berhampiran rumah mereka di Kampung Losong, Kuala Terengganu.

Gadis yang menghidap penyakit saraf sewaktu berusia 11 tahun sebelum berkerusi roda empat tahun kemudian bercita-cita untuk menjadi penterjemah profesional Bahasa Arab.

“Saya kini sedang mengikuti kursus penterjemahan di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, Nurmelissa berkata, beliau terhutang budi dengan kesudian pengurusan UniSZA kerana menyumbang kerusi roda elektrik bagi memudahkan pergerakannya tanpa bantuan orang lain sewaktu menjalani latihan industri tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI