BEIJING – China melancarkan modul ketiga dan terakhir untuk melengkapkan pemasangan stesen angkasa lepas tetapnya kelmarin, lapor saluran berita NBC News.
Modul ketiga dinamakan Mengtian itu dilancarkan ke angkasa lepas pukul 3.39 petang (waktu tempatan) dari Pusat Pelancaran Satelit Wenchang, dalam wilayah Hainan, selatan China.
Kumpulan besar terdiri daripada jurugambar amatur, peminat angkasa lepas dan penonton menyaksikan pelancaran roket itu dari pantai bersebelahan.
Ramai mengibarkan bendera China dan memakai baju-T dihiasi tulisan Cina yang mencerminkan perasaan bangga kepada program angkasa lepas Beijing dan kemajuan teknologi yang diwakilinya.
Mengtian menyertai modul sebelumnya, Wentian sebagai makmal kedua stesen angkasa lepas tersebut. Secara kolektif, stesen angkasa lepas itu dikenali sebagai Tiangong. Kedua-dua modul itu disambungkan terus kepada modul teras, Tianhe iaitu lokasi di mana angkasawan China tinggal dan bekerja.
Seperti pendahulunya, Mengtian dilancarkan menggunakan roket pengangkut Long March-5B Y4. Ia adalah roket paling berkuasa milik China.
Mengtian dijadual melakukan perjalanan selama 13 jam sebelum berlabuh di stesen angkasa lepas Tiangong. Stesen angkasa lepas itu didiami oleh dua angkasawan lelaki dan seorang angkasawan wanita, demikian menurut Agensi Angkasa Lepas China.
Chen Dong, Cai Xuzhe dan Liu Yang tiba awal Jun lalu untuk penginapan selama enam bulan di mana mereka akan menyelesaikan pemasangan stesen itu, berjalan kaki di angkasa lepas dan menjalankan eksperimen tambahan lain.
Pada tahun depan, China merancang untuk melancarkan teleskop angkasa lepas Xuntian. Walaupun bukan sebahagian daripada Tiangong, ia akan mengorbit mengikut urutan dengan stesen itu dan berlabuh sekali-sekala untuk tujuan penyelenggaraan.
Secara keseluruhannya, stesen Tiangong akan mempunyai kira-kira 109.9 meter padu ruang dalaman bertekanan. – Agensi