KUALA LUMPUR – Aktif sebagai aktivis masyarakat di Langkawi antara taruhan calon Barisan Nasional (BN) untuk menawan kerusi Parlimen tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calonnya, Datuk Armishah Siraj bagaimanapun mengakui bahawa laluannya menentang penyandang kerusi Parlimen itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukanlah suatu perkara mudah.
Namun begitu, beliau tetap yakin dan mampu menawan hati masyarakat pulau pelancongan tersebut dengan kerja yang dilakukan sejak bersara beberapa bulan lalu.
“Saya memang hormat Tun Mahathir sebagai negarawan, tapi dalam politik kita perlu terima siapa sahaja lawan kita perlu hadap.
“Bagi saya, siapa yang bertanding perlu kerja keras dan saya tidak akan memperkecilkan orang tetapi saya yakin saya boleh menang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini.
Dalam pada itu, Armishah turut berjanji akan menyelesaikan masalah di Langkawi kerana mempunyai banyak pengalaman di kawasan berkenaan.
“Masalahnya adalah di Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis. Kita perlu korek selut dan lumpur untuk selesaikan masalah feri terkandas.
“Jika saya berjaya mendapat kerusi Parlimen ini, ia menjadi perkara utama yang akan dibawa ke Parlimen,” katanya. – KOSMO! ONLINE.