fbpx

Arab Saudi, AS pertingkat kesiagaan hadapi kemungkinan serangan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serangan tersebut dikatakan bertujuan bagi mengalihkan perhatian dunia daripada protes di seluruh Iran yang tercetus selama berminggu-minggu akibat insiden kematian Mahsa Amini. – AFP

WASHINGTON – Pasukan risikan Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran mengenai serangan yang didakwa bakal dilancarkan Iran dengan menyasarkan Riyadh dan Erbil di Iraq, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.

Menurut laporan akhbar Wall Street Journal (WSJ), serangan tersebut dikatakan bertujuan bagi mengalihkan perhatian dunia daripada protes di seluruh Iran yang tercetus selama berminggu-minggu akibat insiden kematian gadis bernama Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis moral.

WSJ yang menerima maklumat daripada seorang sumber di Majlis Keselamatan Negara White House berkata, Washington amat memandang serius akan ancaman tersebut serta para pegawainya kini berhubung rapat dengan kerajaan Arab Saudi.

Pegawai tersebut bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai hasil risikan bersama pegawai di Riyadh.

Sebagai respons kepada amaran tersebut, tentera Arab Saudi, AS dan beberapa negara di Asia Barat dikatakan meningkatkan amaran kesiagaan ke tahap tertinggi.

Jurucakap Tentera Udara AS, Brigedier Jeneral Patrick Ryder ketika ditanya mengenai perkara itu enggan memberi pengesahan lanjut.

“Saya tidak akan bercakap mengenai tahap perlindungan tentera, namun, apa yang boleh saya katakan adalah kita memandang serius akan ancaman tersebut, sama ada di Iraq atau di mana-mana sahaja.

“Kita kekal berhubung dengan rakan sejawat di Arab Saudi dari segi maklumat risikan yang boleh mereka kongsikan,” katanya seperti dilaporkan akhbar New York Post.

Iran sebelum ini menyalahkan AS, Arab Saudi dan Israel yang didakwa menjadi ‘dalang’ kepada protes yang tercetus di seluruh negara itu.

Bulan lepas, Komander Pengawal Revolusi Iran secara terbuka memberi amaran kepada Riyadh agar tidak memberi liputan kepada protes tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI