PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan lapan buah negeri sehingga 9 pagi ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, cuaca buruk tersebut dijangkakan melanda Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Hujan lebat dijangka berlaku di Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda manakala di Perak melibatkan Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Sementara itu di Negeri Sembilan cuaca sama dijangka turut meliputi Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin,” katanya.
Di Perlis, Pulau Pinang dan Melaka pula katanya, hujan lebat dan ribut petir diramalkan melanda seluruh kawasan.
“Angin kencang dan ribut petir juga bakal berlaku di Pahang meliputi Lipis dan Raub manakala di Johor, di Tangkak dan Muar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE