PETALING JAYA – Pelakon Rozita Che Wan meluahkan rasa sedih apabila anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana kembali dijangkiti Covid-19 bertepatan sambutan ulang tahun kelapan, semalam.
Pelakon yang mesra dibahasakan Che Ta itu berkata, buat masa ini, permata hatinya berehat secukupnya sebelum dijanjikan sebuah majlis keraian apabila sembuh kelak.
Malah usahawan itu turut berjanji mengadakan majlis sambutan hari jadi puterinya itu secara besar-besaran di sebuah lokasi acara di Shah Alam, Selangor.
“Hari ini hari jadi princess Aaisyah Dhia Rana. Tapi kasihan sayang mummy kena Covid-19.
“Sudah sihat nanti kita sambut ‘all out’ ye sayang,” katanya menerusi perkongsian Instagram.
Turut dimuat naik adalah video yang menampakkan Aaisyah sedang terbaring dalam keadaan wajah kurang bermaya.
Perkongsian pelakon Kiah Pekasam itu mengundang perhatian rakan selebriti termasuk Erra Fazira, Raja Ilya dan Sharifah Shahirah yang mendoakan Aaisyah segera sihat.
Terdahulu, anak gadis Che Ta dan aktor Zain Saidin itu pernah dijangkiti Covid-19 kali pertama sekitar Oktober tahun lalu yang juga hampir dengan tarikh ulang tahun perkahwinan ibu bapanya.
Selain Aaisyah, Zain turut positif membuatkan Che Ta ketika itu terpaksa menunda percutian ke Langkawi, Kedah yang sepatutnya serentak dengan sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. – KOSMO! ONLINE