fbpx

44 PATI gagal masuk menjelang PRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siva ketika menyoal salah PATI yang ditangkap APMM Selangor. FOTO: AFIQ RAZALI

KLANG – Tanggapan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) bahawa kawalan keselamatan longgar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) nyata meleset apabila cubaan membawa masuk 44 warga Indonesia berjaya dikesan Maritim Malaysia (APMM).

Kesemua PATI berusia 12 hingga 49 tahun ditahan kira-kira pukul 9.35 malam, Isnin lalu di Perairan Tanjung Layang, Kuala Langat dekat sini.

Turut ditangkap seorang tekong dan dua kru juga merupakan warga Indonesia berusia 25 hingga 47 tahun dengan bot PATI berjaya ditahan selepas adegan mengejar selama 10 minit.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, bot kayu dengan tanda nama Safri itu berjaya dikesan radar Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang bergerak masuk dari perairan Indonesia kira-kira pukul 7.47 malam.

Katanya, bot ronda APMM yang berada di lokasi berhampiran kemudian telah diatur gerak dengan menemui bot PATI itu sedang bergerak laju menuju ke Perairan Tanjung Karang.

“Kita mengejar selama 10 minit sebelum bot berkenaan berjaya ditahan dengan menemui 39 penumpang lelaki dan empat wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki.

“PATI tersebut duduk berhimpit di atas geladak dan bawah dek dianggarkan selama 16 jam selepas berlepas dari Indonesia,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau memberitahu, antara lokasi pelepasan sindiket selepas mengambil PATI itu adalah Tanjung Balai, Dumai dan Pulau Rupat.

Difahamkan semasa penahanan, tekong PATI dikatakan cuba menyamar dengan menukar baju dan duduk dalam kelompok PATI untuk elak dikesan pihak berkuasa.

Tambah Siva, kesemua yang ditahan termasuk tekong dan dua kru tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Berdasarkan siasatan awal, tekong bot sedang mencari jalan masuk ke perairan yang terdekat bagi menurunkan kesemua PATI.

“Sindiket ini mengenakan caj antara RM1,500 hingga RM2,500 kepada seorang PATI,” jelasnya.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati kesemua PATI pernah bekerja di pelbagai sektor seperti pembersihan dan perladangan di negara ini.

“Ada kemungkinan sindiket cuba mengambil kesempatan memasuki negara ini menjelang tempoh PRU dengan anggapan kawalan keselamatan longgar ekoran pasukan keselamatan lebih tertumpu kepada aspek melicinkan proses PRU.

“Kita masih menyiasat kumpulan sindiket yang terlibat dan kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI