fbpx

Terengganu sasar tempat keempat Para Sukma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN SUKAIRI (berdiri di belakang, tengah) menyempurnakan majlis pelepasan kontinjen Terengganu yang menggalas cabaran pada Para Sukma 2022 di Kuala Terengganu kelmarin.

KONTINJEN Terengganu berhasrat memburu sekurang-kurangnya tempat keempat pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) yang bermula semalam.

Ketua kontinjen, Mohd. Izwandy Ismail berkata, Terengganu menyasar 25 pingat emas melalui 10 acara disertai bagi merealisasikan misi itu.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu itu berkata, seramai 77 atlet akan menggalas cabaran Terengganu pada edisi Para Sukma kali ini bagi membaiki pencapaian kedudukan kelima pada empat tahun lalu.

“Persiapan atlet Para Sukma Terengganu banyak dibantu oleh Persatuan Rekreasi Sukan Orang Kurang Upaya Negeri (Pesron) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

“Acara olahraga, ping pong, boling padang, boccia, catur, boling, angkat berat dan memanah menjadi prospek pingat emas,” katanya selepas menghadiri majlis pelepasan kontinjen Para Sukma Terengganu di Kuala Nerus semalam.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Mohd. Izwandy berkata, kontijen Terengganu mahu menjadikan temasya tahun ini sebagai pemangkin fasa kebangkitan dan pihaknya menyasarkan untuk membentuk kontinjen yang lebih mantap bagi edisi 2024.

“Juara bertahan Sarawak serta Sabah, Johor dan Selangor pasti memberi cabaran, namun ada peluang untuk tempat keempat atau ketiga.

“Pada temasya Para Sukma 2018, kontinjen Terengganu meraih 28 pingat emas, 16 perak dan 23 gangsa bagi menduduki tempat kelima keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Sukairi memberitahu pemenang pingat Para Sukma juga bakal  menerima amaun insentif  sama seperti diterima atlet Sukma pada bulan lalu.

Jelas beliau, kerajaan negeri Terengganu sentiasa mengiktiraf kejayaan semua atlet walaupun atlet kategori Para terletak di bawah kelolaan Jabatan Belia dan Sukan.

“Mereka membawa nama Terengganu, jadi sudah tanggungjawab kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan atlet Para dari segi komitmen kewangan atau latihan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI