PUTRAJAYA – Calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu menyerahkan kertas penamaan calon bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada Hari Penamaan Calon yang akan berlangsung pada Sabtu ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, penyerahan kertas penamaan calon itu boleh diberikan kepada pegawai pengurus di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC).
“Pihak terlibat yang boleh menyerahkan kertas penamaan calon itu antaranya calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.
“Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan calon bertanding dalam PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, calon juga disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran.
“Ini bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, mereka diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” ujarnya.
Selain itu, katanya, hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke PPC pada hari berkenaan.
“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari itu dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE