fbpx

Pokok tumbang halang 160 murid ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebatang pokok berangan tumbang dan menghalang laluan penduduk di Kampung Jenut dekat RPS Kuala Betis, Gua Musang hari ini. -Foto IHSAN PENDUDUK

GUA MUSANG – Rutin harian lebih 500 penduduk Orang Asli di tujuh buah kampung di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini terbantut apabila sebatang pokok berangan berusia lebih 20 tahun tumbang dan menghalang laluan hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika hujan lebat dan ribut sehingga menyebabkan pokok setinggi 20 meter itu tumbang ke atas jalan berhampiran Kampung Jenut.

Seorang pengusaha bas sekolah, Mohd. Kamaruddin Awang, 47, berkata, dia menyedari kejadian itu pada pukul 6.30 pagi ketika ingin mengambil 160 orang murid dan pelajar Orang Asli untuk dihantar ke dua buah sekolah.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bas yang dipandunya tidak dapat mengambil murid dan pelajar berkenaan.

“Sebahagian besar murid dan pelajar Orang Asli tidak dapat hadir dan hanya beberapa orang ibu bapa menghantar anak mereka menggunakan motosikal ke Sekolah Menengah Kebangsaan Panggong Jaya dan Sekolah Kebangsaan Kuala Betis.

“Kami bergotong-royong mengalih dan membersihkan pokok tumbang berkenaan dan kerja itu selesai pada pukul 9 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Ali Liman, 45, berkata, jalan itu merupakan satu-satunya laluan penduduk Kampung Jenut, Kampung Merlong, Kampung Mangsok, Taman Sri Galas, Kampung Lambok, Kampung Cengkelik dan Kampung Limau untuk ke jalan utama.

Katanya, kebanyakan penduduk tidak menyedari pokok itu tumbang dan hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut pagi tadi.

“Mujur pokok itu terletak sedikit jauh dari kawasan penempatan dan tidak menghempap rumah penduduk.

“Bagaimanapun, anak-anak kami tidak dapat ke sekolah hari kerana bas tidak dapat masuk ke kampung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI