fbpx

Piala Malaysia : TFC melangkah ke suku akhir dengan bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain TFC meraikan kejayaan mereka melangkah ke suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan, Kuala Nerus malam ini.

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi Sri Pahang 4-2 pada aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kemenangan bergaya 9-3 secara agregat itu membolehkan TFC yang juga naib juara Piala FA dan Liga Super membuat perhitungan dengan juara bertahan, KL City FC di suku akhir.

Hanya dua minit diperlukan TFC untuk berada di depan berpunca hantaran Mohd. Faiz Nasir sebelum Kpah Sherman mudah menanduk masuk gol pertama tuan rumah.

Pelawat memiliki peluang terbaik menerusi Steven Rodriguez yang berjaya menggelecek penjaga gol TFC namun tolakan pada minit ke-22 dihalang Shahrul Nizam Roshasni.

Kesempatan itu digunakan TFC untuk menjadikan kedudukan 2-0 apabila Faisal Abdul Halim menyudahkan lorongan Sherman di dalam kotak penalti pada minit ke-29.

Enam minit kemudian TFC terus selesa kali ini giliran bek kanan, Azam Azmi Murah yang melakukan rembatan padu menewaskan Mamadou Samassa buat kali ketiga.

Sang Penyu kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Shahrul Nizam (m-37) dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas Rodriguez dalam situasi menjaringkan gol.

Kelebihan itu gagal digunakan Sri Pahang sebaliknya TFC dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Sherman pada minit ke-45 setelah Faisal dijatuhkan Baqiuddin Shamsudin.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang cuba kembali dalam permainan melalui gol daripada Lee Tuck pada minit ke-71 untuk menghidupkan sisa perjuangan skuad Tok Gajah.

Rodriguez mengurangkan defisit 2-4 hasil sepakan kencang dari dalam kotak penalti enam minit sebelum tamat namun sudah terlewat menghalang kemaraan TFC ke suku akhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI