MELAKA – Seorang pesara kerajaan maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah lori di lampu isyarat di Krubong Tampoi di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa, K.S. Thevadas, 68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave cuba memotong sebuah lori.
“Hasil siasatan awal mendapati, lori tersebut dalam perjalanan dari arah Krubong Tampoi menghala ke Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) Krubong.
“Lori itu meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar warna hijau dan mangsa yang datang dari arah kiri bagaimanapun telah memotong ke arah kanan jalan menyebabkan berlaku pergeselan dengan kenderaan berat terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ujarnya, akibat kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Motosikal mangsa juga telah terbakar di tempat kejadian dan berjaya dipadamkan oleh orang awam.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan spesimen darah pemandu lori berusia 57 tahun itu telah diambil bagi tujuan ujian alkohol serta dadah,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.