KUALA KRAI – Seorang pekerja kilang maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah lori di laluan bertentangan di Kilometer 61, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Fairuz Zamry, 24, yang memandu kereta jenis Perodua Bezza maut di lokasi manakala rakannya, Nur Ain Sofea Zakaria, 21, cedera pada leher, kaki dan tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan rakannya yang juga pekerja kilang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke rumah keluarga angkatnya di Kampung Pahi di sini.
Menurutnya, di laluan bertentangan, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun sedang menarik sebuah lagi lori jenis Isuzu menggunakan sebatang besi dari Padang Sembilan menghala ke bengkel di Kampung Keroh.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut merempuh bahagian sisi kanan lori yang sedang ditarik. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Suzaimi, pemandu lori di hadapan tidak mengalami kecederaan, namun pemandu lori belakang yang berusia 43 tahun cedera ringan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat manakala rakan turut dirawat di hospital sama.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan siasatan mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE