BANGKOK – Seorang lelaki cedera digigit seekor labi-labi liar ketika cuba menangkapnya di sebatang sungai dalam wilayah Kanchanaburi, barat Thailand, lapor laman berita Thaiger semalam.
Anggota penyelamat bergegas ke daerah Tha Maka selepas menerima laporan mengenai seorang individu digigit oleh labi-labi.
Setelah tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati Prayap, 60, terbaring di atas tanah, menangis kesakitan dan dalam keadaan terkejut. Labi-labi itu masih menggigit tangannya dan tidak mahu berganjak.
Pekerja-pekerja penyelamat mengambil masa 10 minit untuk melepaskan jari Payap dari rahang labi-labi itu tetapi mangsa mengalami kecederaan.
Jari tengah Prayap cedera teruk dan pekerja penyelamat berkata bahawa ia perlu dipotong. Namun, pihak hospital berjaya menyambung semula hari yang hampir putus itu dengan 10 jahitan.
Menurut Prayap, dia pergi ke sungai untuk menangkap labi-labi supaya dapat dijinakkan. Dia cuba memberi ia makan dan menyediakan tangki air untuk menempatkannya.
Bagaimanapun, labi-labi itu menyerang Prayap sebaik sahaja dia mengambilnya. Dia cuba melepaskan gigitan tetapi tidak berjaya dan meminta bantuan daripada Yayasan Khun Rattanawut.
Labi-labi itu mati dalam proses mengeluarkan jari Prayap. Apabila pulang dari hospital, dia bersama keluarga memasak haiwan itu dan memakannya. – Agensi