PORT DICKSON – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tetap akan memberi sokongan padu kepada UMNO Port Dickson dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk P. Kamalanathan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas namanya tidak disenaraikan.
Video pesanan ringkas Khairy Jamaluddin berdurasi satu minit 23 saat itu telah dikongsikan oleh Pengerusi BN Parlimen Port Dickson, Datuk Mohd. Faizal Ramli di media sosial Facebook dan TikTok miliknya sebentar tadi.
“Saya tahu ada rakan-rakan daripada Port Dickson harapkan saya datang bersama-sama rakan ke Port Dickson untuk kita sama-sama lawan pada PRU15, namun demikian perancangan parti dan sebagainya saya dihantar ke kawasan lain untuk teruskan perjuangan saya.
“Saya ingin memberi sokongan moral saya dan juga berikrar kepada rakan-rakan di Port Dickson terutamanya rakan-rakan UMNO di Port Dickson, Datuk Faizal dan semua warga UMNO Port Dickson bahawa saya akan tetap bersama dengan anda semua, dan masa kita berdepan Pilihan Raya Negeri nanti saya akan turun untuk bantu supaya kita menang kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Port Dickaon,” pesannya.
Khairy Jamaluddin juga memohon kepada warga Port Dickson supaya meneruskan sokongan kepada BN walaupun bukan beliau yang bertanding di kerusi parlimen itu.
“Jangan patah semangat kita beri sokongan yang padu kepada calon BN Datuk P. Kalamanathan yang akan bertanding bagi pihak BN walaupun bukan saya, saya minta tolong sangatlah kita tetap sokong calon BN. KJ will always be with Port Dickson,” katanya.
Parlimen Port Dickson merupakan satu kerusi disebut-sebut akan ditandingi Khairy Jamaluddin sebelum ini selepas beliau tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya selama tiga penggal.
Bagaimanapun difahamkan, BN akan menempatkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu di kerusi tersebut yang mana tradisinya ditandingi MIC. – KOSMO! ONLINE