FORT WORTH, Amerika Syarikat – Pemain No. 8 dunia, Daria Kasatkina tekad untuk tidak mensia-siakan peluang keemasan dengan memberi cabaran pada kejohanan berprestij Final WTA yang akan membuka tirai rasmi awal pagi esok.
Sebagai rekod, prestasi konsisten yang telah dipamerkan oleh Kasatkina sepanjang Siri Jelajah WTA musim ini membolehkan pemain kelahiran Rusia tersebut meloloskan diri pada kejohanan yang mengumpulkan lapan atlet tenis terbaik wanita dunia ketika ini.
Atlet berusia 25 tahun berkenaan juga telah diundi bersama Coco Gauff, Caroline Garcia dan bintang tenis No. 1 dunia, Iga Swiatek dalam Kumpulan Tracy Austin dengan dua pemain terbaik akan lolos ke peringkat separuh akhir.
Kata Kasatkina, peluang untuk beraksi di pusingan separuh akhir terbuka kepada semua pemain tetapi dengan syarat perlu memberikan seratus peratus di atas gelanggang nanti.
“Saya akui telah diundi dalam kumpulan maut tetapi jika dilihat kumpulan satu lagi juga agak sukar. Ini kerana, semua pemain yang beraksi pada kejohanan Final WTA memiliki kualiti tersendiri kerana inilah bintang terbaik dunia tahun ini.
“Apa yang pasti, saya tidak terlalu mahu memberi tekanan terhadap diri sendiri sebaliknya cuba menikmati peluang yang ada memandangkan ini adalah kali pertama saya layak secara merit pada saingan berprestij seperti ini.
“Secara peribadi, fokus saya adalah untuk memberikan sepenuh tenaga di atas gelanggang sekali gus mencerahkan peluang mara ke peringkat separuh akhir,” katanya.
Kasatkina akan membuka tirai perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Swiatek pada awal pagi esok. – AGENSI