PETALING JAYA – Meskipun sering menerima kecaman, kakak kepada penyanyi Iman Troye mendedahkan karakter sebenar adiknya yang sangat penyayang melayani keluarga.
Keperibadian penyanyi itu dapat dilihat menerusi sebuah video TikTok menunjukkan Iman, 19, sedang membetulkan posisi anak saudaranya yang tidur di dalam kereta untuk keselesaan.
Menurut kakaknya, Ain Fatiha, pelantun lagu Teman itu merupakan individu yang berjiwa besar dan sangat kuat.
“Kenapa rezeki awak murah sebab awak letakkan keluarga dahulu.
“Bila kena kecam teruk dulu, awak selalu berpesan jangan risau,” kata Ain.
Bagi Ain, dia akan terus menyokong minat dan impian adiknya itu walaupun sering menjadi buah mulut netizen.
Sempat berkongsi kisah, Ain juga meluahkan rasa tidak seronok menjadi sebahagian keluarga selebriti.
Katanya, orang bebas untuk bercakap dan mengecam tanpa mengetahui perkara yang sebenar.
Bagaimanapun tegasnya, semua kecaman tersebut hampir kesemuanya tidak benar.
Sementara itu, menerusi perkongsian Instagram Iman, dia kini dilihat sedang berjinak-jinak dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Penyanyi lagu Teman itu juga turut meminta cadangan daripada pengikutnya mengenai tempat seterusnya untuk menjalankan kegiatan tersebut.
Rata-rata pengikut memuji sikapnya yang murni itu dan mendoakan kesejahteraan Iman.
Terdahulu, penyanyi itu pernah terlibat dalam kontroversi merosakkan harta benda awam semasa menjayakan penggambaran jenama fesyen muslimah. – KOSMO! ONLINE