HUBUNGAN pasangan selebriti Rizky Billar dan Lesti Kejora kini semakin baik apabila kedua-duanya kembali memperlihatkan kemesraan di tempat awam.
Baru-baru ini foto penyanyi dangdut itu menemani suaminya yang sedang bermain futsal di kawasan TB Simatupang, Jakarta Selatan menjadi bualan netizen.
Malah, ada khabar terbaharu yang mendakwa Lesti kini hamil anak kedua mereka. Kehamilan tersebut uga dikatakan menjadi antara penyebab penyanyi itu menarik balik laporan polis terhadap suaminya.
Pengurusnya, Aril Lobster atau Boril sendiri belum dapat mengesahkan sama ada berita tersebut benar atau sekakadar khabat angin.
“Saya tidak tahu tentang itu, doakan sahaja kalau ramai anak itu rezeki.
“Sekarang semua juga nampak mereka sedang sibuk memperbaiki diri dan rumah tangga. Nampak lebih intim dan meluangkan masa untuk keluarga,” ujarnya.
Katanya lagi, pasangan ini masih mahu berehat dan belum aktif menerima tawaran muncul di televisyen.
Selain itu, pasangan ini juga dikhabarkan sudah berpindah dari rumah lama mereka ke kediaman baharu yang tidak diketahui.
Sebelum ini, Lesti membuat laporan polis dan mendakwa dipukul suaminya pada 28 September 2022, kira-kira pukul 1.51 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB) di kediaman mereka, Cilandak, Jakarta Selatan.
Penyanyi lagu Sekali Seumur Hidup itu mendakwa suaminya berlaku curang sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.
Rizky didakwa bertindak agresif dengan memukul dan mencekik isterinya sehingga terjatuh ke lantai.
Bagaimanapun, penyanyi itu mengejutkan ramai pihak apabila menarik balik laporan polis yang dibuat dan memaafkan suaminya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar. – KOSMO! ONLINE