PETALING JAYA – Harga tambang penerbangan domestik sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan trend penurunan sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pemerhatian terkini suruhanjaya itu pada 25 Oktober lalu menunjukkan kebanyakan tambang penerbangan sepanjang tempoh PRU15 menyusut selepas mengalami lonjakan awal berikutan pengumuman tarikh PRU15 sebelum ini.
Katanya, ia merentasi semua syarikat penerbangan bagi laluan udara dalam Semenanjung iaitu sekitar RM185 sehala, manakala purata tambang penerbangan bagi laluan udara di Sabah dan Sarawak ialah RM188.
Bagi tambang laluan udara antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, purata harga yang boleh diperoleh adalah sekitar RM296 sehala.
“Pemerhatian suruhanjaya menunjukkan syarikat penerbangan memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun bagi tambang penerbangan bagi memudahkan orang ramai.
“Terdapat juga skim diskaun sedia ada yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan khusus untuk pelajar dan ini dapat membantu pengundi muda untuk balik mengundi.
“Industri penerbangan sudah menunjukkan sokongan bagi memudahkan pengundi menunaikan kewajipan mereka tanpa beban tambang penerbangan yang tinggi,” katanya.
Tambah Saripuddin, MAVCOM juga telah meminta syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti bagi laluan udara yang beroperasi semasa tempoh PRU15 untuk memastikan sejumlah penerbangan tersedia ke pelbagai destinasi domestik pada harga yang berpatutan.
“Berdasarkan data yang dikemukakan kepada MAVCOM, semua syarikat penerbangan tempatan sudah membuat perancangan untuk menambah penerbangan sempena PRU15 bermula awal November 2022 menggunakan sumber yang sedia ada.
“Penerbangan tambahan yang dirancang termasuk 45 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke lokasi-lokasi terpilih di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 30 penerbangan tambahan dirancang ke destinasi terpilih di Semenanjung khusus bagi penerbangan yang beroperasi dari Subang, manakala sebanyak 68 penerbangan tambahan dirancang untuk penerbangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.