KUALA LUMPUR – Calon-calon yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) adalah gandingan muka baharu dan lama yang mempunyai kekuatan rekod berbakti kepada rakyat dan kesegaran idea, serta sudut pandang yang bugar demi kestabilan dan kemakmuran negara.
Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan demografi pengundi yang semakin remaja, iaitu 51.4 peratus daripada kira-kira 21 juta pengundi, berumur 18 hingga 40 tahun, adalah menjadi tanggungjawab BN meletakkan gandingan yang membimbing dan dibimbing.
“Keseimbangan ini penting kerana Barisan Nasional bukanlah parti yang kelangsungan hayatnya, bergantung kepada pendekatan populis.
“Sebaliknya Barisan Nasional sentiasa meletakkan dasar-dasar bertanggungjawab, realistik dan mampu menjadi penawar kepada pelbagai permasalahan, yang menyentuh soal fundamental negara dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.
Tambah Ahmad Zahid lagi, memasuki PRU15, menuntut Barisan Nasional melakukan perubahan besar melangkaui kepentingan politik kepartian.
Katanya, rakyat sudah semakin jelak dan ‘letih’ dengan percaturan politik ketika ini.
“Maka dengan sebab itu, kesemua calon yang diketengahkan kali ini, adalah barisan yang telah memberikan aku janji dan sumpah, untuk bekerja sepenuh hati kepada rakyat.
“Menjaga amanah rakyat dan memastikan diri bebas sebarang bentuk penyimpangan, salah guna kuasa dan rasuah demi kestabilan negara.
“Kestabilan ini sudah tentu akan menatijahkan pembentukan sebuah kerajaan yang kukuh, dan meletakkan keutamaan, bagi mengembalikan kemakmuran ekonomi negara dan berupaya menangani isu-isu ‘poket’ dan ‘perut’ rakyat,” katanya.
Tambahnya lagi, calon-calon Barisan Nasional yang kita tampilkan pada pilihan raya kali ini, mempunyai tanggungjawab dan beban amanah yang amat besar.
“Saya ingin menggariskan keutamaan, yang menanti bakal-bakal wakil rakyat Barisan Nasional selepas PRU15 ini nanti. Prinsip keutamaan ini adalah taat iaitu tetap, khidmat dan muafakat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.