fbpx

Fad Bocey kemalangan, dalam pemantauan doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAD BOCEY mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri selepas kemalangan membabitkan motosikal ditungganginya.

PETALING JAYA – Pelawak dan penyampai radio, Fad Bocey mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri selepas kemalangan membabitkan motosikal ditungganginya, malam semalam.

Isterinya, Syaheera Rahman memaklumkan keadaan Fad yang dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam, kini masih dalam pemantauan tetapi stabil.

“Minta maaf kepada yang menghubungi saya, bateri telefon baru bernyawa. Buat masa ini Fad dirawat di Unit Dependensi Tinggi (HDU) sebab ada hentakan pada kepala.

“Itu bagi memastikan keadaannya bagus sebab ketika di tempat kejadian dia mengalami muntah. Alhamdulillah, dia kuat,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkongsi insiden tersebut menerusi InstaStory yang turut disertakan gambar luka di kaki Fad atau nama lengkapnya Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam, 31.

Kongsi Syaheera menceritakan detik cemas yang berlaku, Fad terbabas ke lorong kecemasan selepas nyaris terlanggar kon yang tidak dialihkan di tepi jalan.

“Fad maklumkan kejadian berlaku satu kilometer ke susur keluar Setia Alam antara pukul 7.15 hingga 7.30 malam.

“Keadaan gelap jadi Fad tak perasan ada kon yang tidak dialihkan. Penunggang di hadapan dapat elak, tetapi Fad tak sempat dan terus terbabas sebaik terlanggar kon tersebut.

“Mungkin Fad fikir kalau terlebih elak dia berisiko tercampak ke tengah jalan. Kenderaan banyak lalu lalang waktu itu. Syukur dia jatuh di lorong kecemasan,” jelasnya.

Sementara itu, rakan baik Fad iaitu pelawak Achey turut memuat naik satu perkongsian video yang memaparkan dia sedang berbaring di atas katil hospital.

“Moga cepat baik sahabat,” tulis rakan seperjuangannya itu dalam ruangan kapsyen.

Sementara itu pada masa sama, Syaheera turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai di tempat kejadian serta kenalan yang membantu menguruskan Fad hingga ke hospital.

Malah dia juga tidak ketinggalan meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan dan kesihatan suaminya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI