LUMUT – Dua maut manakala seorang cedera apabila sebuah kren runtuh ketika kerja-kerja pelupusan kren tersebut sedang dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan hari ini.
Difahamkan kren gantri tersebut runtuh ketika ketiga-tiga mangsa melakukan kerja-kerja pemotongan kren tersebut mengakibatkan mereka tersepit.
Seorang mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Rajim Hasmki, 33, berasal dari Sabah, manakala seorang lagi belum dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Azizi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.58 petang lantas sepasukan 12 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Dua mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan tersebut dengan seorang mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera berusia 36 tahun diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke Hospital Seri Manjung bagi menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, seorang lagi mangsa yang maut dan tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 10.30 malam ini.
Beliau memaklumkan, operasi menyelamat mengalami kesukaran apabila kedudukan mangsa yang tergantung pada ketinggian kira-kira 4.5 meter.
“Bomba terpaksa menggunakan kren dan gas oxy-acetylene untuk memotong besi kren tersebut sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE